5 Masjid Terbesar di Malaysia
Hari ini CV nak mengajak anda mengenali 5 Masjid Terbesar di Malaysia. Sebelum ini CV cerita 5 Masjid Tercantik di Malaysia. Kali ini CV nak cerita yang terbesar pula.
Ada orang minat yang cantik. Ada orang minat yang besar. Tak kisahlah yang mana satu, yang penting ada minat terhadap masjid itu sudah satu rahmat besar dari Allah SWT.
Okay jom kita lawati 5 Masjid Terbesar di Malaysia.
#1 Masjid Negeri Selangor – Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Yang pertama ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Masjid ini terletak di Shah Alam, Selangor.
Ada yang memanggil masjid ini dengan panggilan Masjid Negeri Selangor. Masjid Negeri Selangor ini merupakan masjid terbesar di Malaysia.
Mengikut sejarahnya, pembinaan masjid ini mengambil masa selama 12 tahun iaitu bermula dari tahun 1975 sehinggalah tahun 1998. Lama bukan?
Masjid Negeri Selangor ini mempunyai 4 menara yang berada di setiap penjuru masjid dan merupakan menara masjid yang tertinggi di Malaysia.
Kapasiti jemaah bagi Masjid Negeri Selangor ini ialah 24,000 jemaah pada satu-satu masa.
Ringkasan:
- Kapasiti jemaah: 24,000 jemaah
- Kos binaan: RM 160 juta
- Tarikh siap: 1998
- Lokasi: Shah Alam, Selangor
#2 Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi)

Masjid yang kedua terbesar di Malaysia ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Ianya terletak di Presint 3, Putrajaya.
Masjid diberi nama sempena nama DYMM Agong yang ke-13, Tengku Mizan Zainal Abidin. Masjid ini dibina pada tahun 2010 iaitu selepas Masjid Putra.
Ada juga yang memberi panggilan dengan nama Masjid Besi kerana binaannya yang menggunakan 70% besi dari keseluruhan binaan. Sebab itulah dari jauh dah nampak besi yang berkilauan.
Teknologi Masjid Besi ini sangat unik kerana ianya tidak menggunakan kipas kekal atau penghawa dingin. Sebaliknya menggunakan gas penyejuk (gas district cooling – GDS).
Senibina Masjid Besi ini berbeza dengan masjid lain kerana senibinanya diambil dari kesenian dari Jerman dan China.
Kapasiti jemaah untuk Masjid Besi ini ialah 20,000 jemaah pada satu-satu masa.
Ringkasan:
- Kapasiti jemaah: 20,000 jemaah
- Kos binaan: RM 200 juta
- Tarikh siap: 2010
- Lokasi: Presint 3, Putrajaya
#3 Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Masjid ketiga terbesar di Malaysia ialah Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau dipanggil Masjid Wilayah.
Masjid Wilayah dibina pada tahun 1997. Ianya mengambil masa selama 4 tahun untuk siap dibina.
Jika tengok dari jauh, masjid ini seakan-akan Masjid Biru di Istanbul, Turki. Ya, senibina masjid ini diilhamkan dari Masjid Biru di Turki.
Kapasiti jemaah bagi masjid ini adalah 17,000 jemaah pada satu-satu masa menyebabkan ianya berada di tempat yang ketiga terbesar di Malaysia.
Ringkasan:
- Kapasiti : 17,000
- Kos Binaan: 255 juta
- Tarikh siap: 2001
- Lokasi: Jalan Duta, KL
#4 Masjid Putra

Baik seterusnya kita pergi ke masjid yang keempat terbesar di Malaysia. Masjid tersebut ialah Masjid Putra di Putrajaya.
Masjid Putra ini dibina pada tahun 1997. Ia juga termasuk dalam senarai Masjid Tercantik di Malaysia.
Masjid Putra ini berdekatan dengan Bangunan Putra Perdana iaitu Pejabat Perdana Menteri Malaysia. Masjid ini sangat cantik kerana ianya dikelilingi oleh tasik buatan yang sangat indah.
Ringkasan:
- Kapasiti: 15,000
- Kos binaan: 250 juta
- Tarikh siap: 1999
- Lokasi: Putrajaya
#5 Masjid Negara

Okay seterusnya senarai masjid terbesar di Malaysia ialah Masjid Negara. Masjid Negara terletak berdekatan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Lake Garden.
Masjid ini dibina pada tahun 1963 dan siap pada tahun 1965. Sebelum Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Negara ini adalah masjid paling moden di Asia Tenggara.
Jika dilihat dari jarak jauh, rupa Masjid Negara ini adalah seperti sebuah payung yang kuncup.
Kapasiti jemaah bagi Masjid Negara adalah 15,000 jemaah pada satu-satu masa.
Ringkasan:
- Kapasiti: 15,000
- Kos binaan: 100 juta
- Tarikh siap: 1965
- Lokasi: Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur
Penutup
Begitulah 5 Masjid Terbesar di Malaysia. Betapa indahnya rumah Allah SWT. Begitu bertuah berada di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Sungguh bertuah jika kita dapat mengunjungi kelima-lima masjid terbesar di Malaysia ini. Apa yang lebih utama ialah kita dapat beribadat di dalam masjid ini. Bukan sahaja di sini malah di masjid berdekatan rumah kita pada setiap hari.